Posted by cikgusimple on April 22nd, 2011
Selalu dikaitkan emas dan juga rahsia-rahsianya yang menguntungkan orang yang tahu mengenainya. Di sini, tiada rahsia yang hendak diselindungkan. Saya suka berkongsi apa sahaja yang saya tahu dan apa yang telah saya lalui, maka apa yang anda baca di sini bukanlah teori semata-mata sebaliknya ilmu yang telah dipraktikkan, jika bukan saya sendiri tetapi orang lain. Ini boleh dijadikan panduan untuk yang belum tahu, dah bermula tapi belum tahu dan yang baru ingin bermula.
Emas mengelakkan ‘kebocoran’
Apakah maksudnya? Simpanan emas telah membuatkan kita membekukan wang kertas dalam bentuk logam berharga yang diiktiraf di seluruh dunia. Malah di dalam Al-Quran juga disebut mengenai emas dan perak berulang kali menunjukkan ia bukanlah sebarangan logam sebaliknya logam yang berharga (precious metal). Peringatan juga diberi kepada yang menyimpan emas dan perak namun tidak berzakat. Rasulullah juga ada bersabda :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: "Tidak ada seorang pun yang mempunyai emas dan perak yang tidak menunaikan zakatnya, melainkan pada hari kiamat dijadikan hartanya itu beberapa keping api neraka. Setelah dipanaskan, digosokkan lambung, dahi dan belakangnya. Setiap kali ia sejuk, dipanaskan semula pada satu hari yang lamanya 50 ribu tahun sehingga Allah menyelesaikan segala perkara yang berkaitan dengan hamba-Nya.”
Emas mengelakkan kita dari terjebak dengan skim cepat kaya, skim ponzi dan MLM yang hanya mencari downline serta pelbagai pelaburan yang tidak sah namun menjanjikan pulangan yang hebat setiap bulan. Menyimpan emas tidak menjanjikan anda pulangan bulanan namun ia menjamin kewangan anda di masa hadapan. Emas tidak boleh membuatkan anda kaya serta-merta tetapi ia mengelakkan anda dari terus miskin.
Simpanan emas menyelamatkan kewangan anda dimakan inflasi. Tahukah anda berapa peratus inflasi yang berlaku setiap tahun? Inflasi ini dapat dilihat dengan jelas apabila barang-barang di sekeliling kita perlu dibayar lebih wang kertas untuk anda memilikinya. Jika dahulu anda boleh membeli banyak barang dengan RM50, sekarang wang dengan nilai yang sama hanya mampu membeli beberapa barang sahaja.
Wang kertas semakin disusut nilai kerana ia matawang yang tidak bersandarkan apa-apa. Negara kapitalis boleh mencetak wang fiat ini sesuka hati mereka dan merompak harta benda di seluruh dunia. Dalam masa yang sama merekalah penyimpan emas yang terbanyak. Mereka membuatkan anda, malah kita semua percaya wang merekalah yang paling berharga.
Setiap kali harga emas melambung, ia menunjukkan betapa lemahnya wang kertas. Wang kertas ini semakin hari semakin susut nilainya. Mahukah anda menyimpan kertas yang semakin lama semakin tidak berharga?
Ya, pasti ramai yang akan katakan ‘mana boleh hidup tanpa wang kertas’. Baca lagi dahulu fakta seterusnya. Sedarkah anda wang kertas adalah debu-debu riba yang terpaksa kita gunakan pada hari ini? Wang kertas adalah riba. Ini yang disebut-sebut oleh pejuang dinar dan dirham yang tidak kenal erti penat dan lelah dalam usaha menyebarkan tentang peranan Dinar dan Dirham (DnD). Ini akan dibincangkan di lain masa.
Jadi, dengan meyimpan emas, anda sedang berusaha untuk menukarkan wang kertas anda kepada emas dan perak dan hanya tinggalkan sedikit wang kertas untuk keperluan. Wang kertas masih diperlukan sebagai medium pertukaran on the spot untuk membeli barang-barang dan keperluan lain. Namun, sekarang telah ada pihak-pihak yang menerima Dinar dan Dirham dalam transaksi bisnes mereka. Alhamdulillah. Nanti saya akan kongsikan senarai outlet yang terima DnD serta liputan mengenai pasar muamalat DnD yang telah berjaya berlangsung dengan meriah di Masjid Syah Alam pada 16 April 2011.
Simpanan emas ada auranya sendiri, sekali anda bermula, anda pasti ingin menyimpannya lagi. Ia beranak pinak dan semakin bertambah dari semasa ke semasa. Pengalaman saya sendiri, menyimpan wang -bila sekali keluar masa terdesak, pasti akan keluar lagi. Akhirnya simpanan semakin menyusut. Sudahlah nilainya sendiri semakin menyusut. Orang yang simpan emas dengan matlamat yang jelas, akan dapat rasakan agak rugi jika menjual emas sekadar untung mendapatkan wang fiat semula, melainkan anda benar-benar memerlukannya. Menyimpan emas telah mengajar saya menjadi seorang yang lebih berjimat cermat, berhemah dalam berbelanja dan semakin sederhana dalam melalui kehidupan. Niat saya, kesenangan saya nanti akan memberi manfaat kepada orang lain juga. Tapi untuk menolong orang atau bersedekah, tidak perlu tunggu kaya, mulakan dari sekarang, insyaAllah berkat.
Contoh yang jelas wang kertas menyusut
RM100k yang anda simpan sekarang, beberapa tahun akan datang, ditolak inflasi, nilainya mungkin hanya tinggal lebih kurang RM80k atau lebih kurang dari itu. Tapi dengan menyimpan emas, anda meletakkan nilai yang betul di tempat yang sepatutnya.
Emas semakin naik harganya untuk jangka masa panjang -ia umpama magnet yang menarik kekayaan kepada anda. Contohnya : anda beli emas RM100k, beberapa tahun akan datang emas tersebut mungkin bernilai RM400k malah lebih dari itu.
Saya lebih suka jika anda tidak menganggap emas sebagai pelaburan, sebaliknya ia adalah simpanan-aset yang tidak susut nilai seperti rumah dan hartanah. Emas adalah penyimpan nilai yang baik, ini terbukti sejak 1400 tahun dahulu lagi. Aset terunggul yang mampu dimiliki dan dikumpul sedikit demi sedikit dan digunakan sedikit demi sedikit ketika anda memerlukannya. Emas adalah wang yang sebenar.
Sekarang anda faham bagaimana emas mengikat kewangan anda agar terlindung dari inflasi dan susut nilai serta peranannya sebagai magnet yang menarik kekayaan kepada anda. Lebih banyak anda tahu tentang emas dan perak, lebih banyak yang anda ingin tahu dan lebih membantu anda bertindak dengan keputusan yang betul. Sekiranya semua pihak sedar emas dan perak berharga, maka semakin mudah untuk semua pihak menerima dinar dan dirham untuk tujuan muamalat. Marilah sebarkan info berguna ini kepada semua orang yang anda kenali. Kasihanilah mereka yang tidak tahu hakikat sebenar emas dan wang kertas.
http://jutawangold.com/
http://jutawangold.com/
No comments:
Post a Comment